Saturday, February 21, 2009

BEDAH BUKU

MENJADI PEMUDA PEKA ZAMAN
Mengapa generasi muda muslim begitu tidak peduli dengan permasalahan yang mendera umatnya sendiri? Mengapa para pemuda menuntut untuk dianggap dewasa pada satu sisi, namun di sisi lain sikap mereka masih kekanak-kanakan? Bagaimana dan seperti apakah langkah-langkah yang harus kita tempuh untuk men-”dewasa”-kan mereka? Bagaimana membentuk generasi muda yang bertanggungjawab terhadap umatnya?

Persoalan-persoalan di atas adalah persoalan yang tertera di halaman paling belakang buku ”Menjadi Pemuda Peka Zaman’ tulisan Dr. Raghib As-Sirjani. Penulis yang juga merupakan penulis buku best seller ”Misteri Solat Subuh” ini mengetengahkan isu-isu seperti masalah generasi muda hari ini dan mengapa terjadinya masalah tersebut. Turut diselitkan sepuluh nasihat berupa motivasi kepada golongan pemuda sekiranya mereka ingin mengembalikan posisi dan martabat agung umat Islam. Buku setebal 120 halaman ini juga menceritakan secara ringkas tentang kehebatan pemuda-pemuda generasi pertama Islam seperti Zubair bin Awwam, Thalhah bin Ubaidillah, Zaid bin Tsabit, Usamah bin Zaid dan ramai lagi.

Secara ringkas, buku ini memaparkan realiti tentang sikap generasi muda zaman sekarang yang lebih cenderung untuk bersenang-senang, tidak mempunyai tujuan hidup yang jelas, tidak menghiraukan masalah umat Islam hari ini dan lebih menekankan hal-hal remeh. Ramai golongan pemuda beranggapan mereka masih kanak-kanak, tidak layak dan tidak perlu sama sekali memikirkan masalah yang kompleks. Hanya masalah-masalah ringan di sekitar mereka yang menjadi perhatian.

Pada pandangan saya, penulis buku ini ingin menyampaikan bahawa kapasiti seorang pemuda itu sangat besar dan harus dimanfaatkan sebaiknya pada jalan yang betul. Buku ini memberi kesedaran tentang banyak perkara yang menuntut perhatian generasi muda. Pemuda pada hari ini lebih suka bersaing dalam hal-hal material seperti memiliki kereta besar, telefon bimbit mahal dan bermacam-macam lagi. Persaingan yang tidak ke mana ini jelas sekali merugikan. Oleh itu, hal-hal seperti ini perlulah diubah dan perubahan itu harus bermula dari sekarang!



Layari laman berikut untuk mendapat ulasan lain tentang buku ini:
http://yazidsahak.blogspot.com/2008/02/menjadi-pemuda-peka-zaman-masalah.html
http://yazidsahak.blogspot.com/2008/02/menjadi-pemuda-peka-zaman-pandangan.html

Tuesday, November 25, 2008

DIVING - info & pengalaman!





Aktiviti menyelam boleh dibahagikan kepada “SKIN DIVING” dan “SCUBA DIVING”. “Skin diving” atau “selam bebas” adalah aktiviti menyelam yang dilakukan pada kedalaman yang relatif dangkal dan waktu penyelaman yang relatif terbatas, tergantung pada kemampuan paru-paru. Sekurang-kurangnya peralatan seperti “fins”, “masker” dan “snorkel” digunakan dalam aktiviti selam bebas. Untuk penyelaman yang lebih lama di dalam air, peralatan SCUBA diperlukan. SCUBA bermaksud “Self Contained Underwater Breathing Apparatus”. Menyelam pada kadar yang lebih lama di dalam air menggunakan peralatan SCUBA disebut SCUBA DIVING.

“Kalau mahu tahu nikmatnya bernafas, tanyalah pada orang yang kehabisan oksigen saat menyelam”, jelas instruktur selam aku. Memang aku tidak nafikan kata-kata itu. Aku sendiri baru merasa pengalaman kehabisan oksigen di dalam air pada kedalaman hampir 15 meter. Kata-kata itu juga memang khas ditujukan pada aku. Pengalaman yang aku dapat pada hari itu memang berharga, sangat berharga! Mengajar aku menjadi manusia yang lebih peka dan lebih menghargai nikmat menyedut udara.

Ketika itu aku masih dalam pelatihan untuk belajar menyelam. Saat pelatihan, kami diajar untuk melepaskan “mouth piece”, kemudian berkongsi “mouth piece” sekaligus oksigen dengan teman yang lain. Tujuannya ialah supaya kita tidak panik jika kehabisan oksigen saat menyelam dan kita dapat belajar cara yang betul untuk berkongsi oksigen. Bertuahnya aku pada waktu itu ialah kerana dapat mempraktikkan terus cara berkongsi oksigen.

Ketika sedang leka di dalam air, aku teringat untuk melihat “pressure gauge”, baru aku sedar yang oksigen di dalam “SCUBA tank” (tabung SCUBA) hampir habis. Ketika itu aku yang berada agak jauh dari instruktur cuba berenang ke arahnya untuk memberi isyarat bahawa oksigen hampir habis. Sedang aku cuba mendekatkan diri dengan instruktur, aku sudah semakin sukar bernafas. Setiap nafas yang aku sedut terasa berat sekali. Akhirnya aku tidak dapat bernafas lagi ekoran oksigen yang telah habis sama sekali.

Waktu itu kedalaman hampir 15 meter. Aku tidak boleh terus meluncur naik ke atas permukaan air. Risiko yang aku akan hadapi jika terus meluncur ke atas ialah penyakit “decompression”! Akhirnya instruktur dapat melihat isyarat aku yang kehabisan oksigen tetapi jarak antara aku dengan instruktur tidak membolehkan dia memberi bantuan oksigen kepada aku. Arghhh.....sudah!!! Aku dah puas menahan nafas sambil terus cuba merapatkan diri ke arah instruktur.

Aku sendiri tidak tahu berapa lama lagi aku boleh bertahan. Waktu itu aku sudah terasa berat pada paru-paru, teringin sangat menyedut oksigen supaya aku dapat terus bernafas dan hidup! Tidak semena-mena, ada orang menarik aku dari belakang dan menghulurkan “mouth piece”. Alhamdulillah.....nasib baik ada seorang teman aku yang melihat dan terus datang memberi bantuan kepada aku. Waktu itu, aku rasa akulah manusia yang paling bersyukur terhadap kurniaan oksigen. Selepas itu, instruktur menghampiri aku dan kami bergilir-gilir menggunakan oksigen dalam tabung SCUBA miliknya untuk naik perlahan-lahan ke permukaan air.

Melihat orang menyelam di dalam gambar atau televisyen tidak sama dengan merasa sendiri pengalaman menyelam. Jika kita melihat karang yang cantik di dalam televisyen, kecantikan sebenar lebih terserlah saat kita sendiri berada di dalam air melihat hamparan karang yang menutupi dasar laut. Pelbagai hidupan laut dapat dilihat, yang paling utama ialah melihat hidupan laut di habitat asalnya.

Pengalaman menyelam di Pulau Badi, Indonesia cukup mempesonakan. Dari atas bot lagi sudah terlihat kelibat ikan dan karang di dalam air yang jernih. Sesudah masuk ke dalam air, hanya tuhan yang tahu perasaan kagum aku terhadap kehidupan bawah laut yang belum pernah aku terokai sebelum ini. “Speechless & wordless” (dah dlm air, mmg la takleh nak ckp, klau tak air masuk la dlm mulut!). Aku seolah-olah berada di puncak sebuah bukit yang bukan dilitupi tumbuhan tetapi karang. Perlahan-lahan aku turun menyusuri dasar laut seperti menuruni sebuah bukit tetapi aku tidak dapat melihat kaki bukit tersebut, ekoran laut yang sangat dalam dan penglihatan yang terbatas di dalam air. Sepanjang hidup aku, inilah kali pertama aku melihat dasar laut yang cukup cantik dengan mata sendiri. Aku tak mampu untuk menjelaskan dengan kata-kata, kalau nak tahu keindahannya, cubalah menyelam dan nikmatilah sendiri.....

Moral of the story:
-Hargailah nikmat menyedut udara.
-Stop air pollution!
-Hargailah di mana diri anda berada, jika aku tak ditakdirkan belajar di Unhas, Indonesia, aku tak fikir yang aku akan dapat pengalaman sehebat ini.
-Jadilah manusia yang bersyukur..........

Difficult words (cam dalam PBL lak!):
-SCUBA tank: tabung SCUBA, tangki mengandungi oksigen yang digunakan utk menyelam
-Mouth piece: komponen yang diletakkan di mulut untuk kita bernafas & sedut oksigen
-Pressure gauge: alat untuk ukur tekanan dari tabung SCUBA & utk kita tau brape byk oksigen yg tinggal
-Penyakit “decompression”: penyakit yang disebabkan oleh pengurangan tekanan secara mendadak

Friday, November 21, 2008

Untitled........

Salam.......maaf sgt2 sebab tak update blog. Bukan taknak update, tapi byk sangat kekangan. Terima kasih kpd kwn2 yg masih terus selak blog ni walaupun takde update. InsyaAllah akan update dalam waktu terdekat. Tq for ur support.

Monday, May 26, 2008

Cakap.........

“Jangan banyak berbicara tetapi tidak membicarakan apa-apa”. Kata-kata Dr. Mahmud Ghaznawi pada ketika itu memang kena tepat pada waktu dan tempatnya. Ketika itu aku sudah cukup bosan mendengar presentasi dari kumpulan-kumpulan yang terpilih untuk membentangkan hasil diskusi mereka untuk Problem Based Learning (PBL). Mana tidaknya, dari awal sampai akhir, isi yang sama diulang-ulang. Bila diajukan pertanyaan, jawapan yang diberikan jauh menyimpang dari persoalan. Mereka bukannya menjawab soalan, tetapi sekadar menceritakan apa yang mereka tahu, hatta perkara yang sangat umum dan rata-rata diketahui oleh semua orang. Memang banyak mereka membebel, tetapi apa yang aku sedar ialah persoalan yang sebenar masih tak terjawab. Mereka bercakap sekadar untuk mengalihkan perhatian orang dari persoalan yang sebenar. Hari itu merupakan hari yang paling membosankan kerana ramai manusia yang bercakap, tapi tiada isi.
Bila berbicara soal bercakap, perkataan ‘cakap’ sendiri boleh didefinisikan sebagai bicara atau komunikasi menggunakan perkataan. Ada manusia yang suka bercakap sampai tidak ingat dunia, ada juga manusia yang lebih suka berdiam. Ada manusia yang gaya berceritanya hebat, cakap berapi-api, tapi isinya tidak lebih dari cakap kosong semata-mata. Ada manusia yang bercakap tidak menggunakan sebarang efek atau kesan khas dalam pertuturannya tetapi mesejnya sampai dengan jelas dan memberi kesan. Dalam soal ini kita ingin menjadi yang mana? Tepuk dada tanya selera.
Dalam satu kajian tidak rasmi, saya dapati orang yang banyak bercakap dalam sesuatu mesyuarat, cerita berapi-api untuk menarik perhatian orang lain, biasanya akan senyap tatkala melakukan kerja. Dalam bahasa mudahnya, tidak buat kerja! Bukan sekali dua, tapi sudah banyak kali saya saksikan hal yang sama. Kalau difikirkan, ungkapan ‘talk is cheap’ memang banyak betulnya. Bila direnungkan balik, macam mana pula dengan ungkapan ‘kerbau berpegang pada tali, manusia berpegang pada janji atau kata-katanya’? Selaku manusia yang ada pegangan agama, kita perlu berpegang pada kata-kata kita tetapi ada yang mengatakan ‘talk is cheap’, bererti kata-kata kita tidak berharga dan kata-kata kita bukannya suatu jaminan. Jadi kita nak berpegang pada ungkapan yang mana satu? Silakan tepuk dada sekali lagi.
Hari ini kita dapat lihat ramai manusia yang pandai bercakap dan mampu menarik perhatian orang lain ketika bercakap. Ada sesetengah manusia yang mampu menarik perhatian orang untuk mendengar ucapannya tatkala dia baru saja membuka mulut. Manusia-manusia sebegini mampu untuk mengekalkan konsentrasi orang lain untuk mendengar ucapannya. Ada juga manusia yang cuba sedaya upaya untuk menarik perhatian orang lain ketika memberikan ucapan, tetapi gagal. Adakah kegagalan itu berpunca daripada penampilan yang kurang menarik, suara yang tidak cukup lantang, paras rupa yang tidak menarik atau banyak lagi faktor-faktor lain? Adakah kebolehan bercakap ini merupakan satu bakat semulajadi atau mampu diperoleh melalui latihan berterusan? Kalau ditanya pada saya, jawapannua ialah semua orang mampu bercakap di hadapan orang ramai tetapi ada manusia yang dikurniakan kebolehan berucap ini secara semulajadi dan ada manusia yang perlu berlatih untuk mendapat kebolehan ini.
“Saya minta maaf kalau sepanjang pengajian kita ni saya ada buat salah dan silap terhadap kamu semua. Maklumlah, kerja saya ni memerlukan saya bercakap banyak, bila kita banyak bercakap ni makin banyak kesalahan kita buat, makin banyak kelemahan diri kita orang nampak”. Ini adalah antara kata-kata ustaz saya ketika kuliah terakhir sebelum kami menduduki peperiksaan akhir semester. Bila direnungkan kata-kata ustaz ini memang banyak betulnya. Teringat pula pesan Rasulullah s.a.w yang bermaksud, "Sesiapa yang banyak bercakap banyaklah kesalahannya, sesiapa yang banyak kesalahannya banyaklah dosanya dan siapa yang banyak dosanya, api nerakalah paling layak untuk dirinya."(diriwayatkan oleh Baihaqi). Jelaslah di sini orang yang suka dan banyak bercakap lebih terdedah untuk melakukan dosa yang kadangkala tidak disedari.
Terbaca pula satu ungkapan Imam Nawawi dari sebuah artikel di internet, "Ketahuilah, seseorang mukallaf itu sewajarnya menjaga lidahnya daripada sebarang percakapan kecuali percakapan yang menghasilkan kebaikan. Apabila bercakap dan berdiam diri adalah sama saja hasilnya, maka mengikut sunnahnya adalah lebih baik berdiam diri. Hal ini kerana percakapan yang diharuskan mungkin membawa kepada yang haram atau makruh.” Bila merenung kata-kata ini, ada betulnya apa yang dikatakan oleh Norman, Yusry dan Edry dalam lagu mereka bertajuk ‘Fanatik’. Dalam lagu tersebut, trio bersaudara ini ada mengatakan ‘diam adalah pintar’. Pada pandangan saya, orang yang diam adalah orang yang pintar jika percakapannya tidak mendatangkan apa-apa hasil.
Ternyata bercakap bukanlah suatu kerja mudah jika kita betul-betul menjaga percakapan kita. Kalau mahu diumpamakan, burung tiung dan burung kakak tua juga mampu bercakap jika dilatih, tetapi bezanya dengan manusia ialah manusia mempunyai otak yang dapat digunakan untuk berfikir dengan lebih baik berbanding burung-burung tersebut. Manusia mengerti apa yang mereka perkatakan tetapi burung tidak. Sebagai penutup, hayatilah kata-kata dari seorang ustaz yang saya pegang sehingga ke hari ini, “Bercakap bila perlu, untuk menunjukkan kita tahu dan mengambil tahu”. Wassalam.....

Moral of the story: Kurangkan bercakap, banyakkan menulis.......

Wednesday, April 23, 2008

BEDAH BUKU

MENGATASI 25 HAMBATAN MENULIS


“Apabila anda pernah mengundurkan diri dari dunia tulis-menulis karena menemui hambatan yang tidak dapat anda pecahkan, sesungguhnya hambatan yang menghadang anda, juga menghadang penulis-penulis sukses.”

(Petikan dari Mengatasi 25 Hambatan Menulis)

Buku Mengatasi 25 Hambatan Menulis yang ditulis oleh Luqman Haqani ini membicarakan tentang 25 masalah yang sering terjadi kepada para penulis, baik penulis yang baru berjinak-jinak dalam bidang penulisan mahupun yang profesional. Antara masalah-masalah yang dibincangkan dalam buku setebal 104 mukasurat ini ialah kesulitan mendapat inspirasi, memulai tulisan, membuat judul, tidak yakin, terlalu optimis, kebiasaan menunda-nunda dan bermacam-macam lagi. Buku terbitan Pustaka Ulumuddin ini bertujuan membantu penulis-penulis baru mengatasi masalah-masalah mereka dalam mengejar cita-cita menjadi penulis profesional.
Setiap permasalahan di dalam buku ini dibincangkan secara ringkas, cuma terdapat beberapa permasalahan yang dibincangkan agak panjang dari yang lain. Perkara utama yang ditekankan di dalam buku ini ialah setiap masalah ada pemecahannya. Masalah-masalah yang datang dari diri sendiri mahupun dari faktor luaran seringkali membuatkan ramai penulis mengundurkan diri dari bidang penulisan. Apa yang diharapkan oleh penulis buku ini ialah penulis yang menghadapi masalah, menjadikan masalahnya itu sebagai landasan atau pembakar semangat untuk terus menulis, bukannya sebagai alasan untuk berhenti dari bidang penulisan.
Pada pandangan saya, walaupun buku ini membincangkan setiap permasalahan secara ringkas, sedikit-sebanyak ia dapat membantu mereka yang baru berjinak-jinak dalam bidang penulisan. Buku yang nipis ini amat sesuai dibaca oleh mereka yang sentiasa sibuk, tetapi dalam masa yang sama masih perlu memberikan komitmen dalam bidang penulisan. Saya akhiri dengan kata-kata yang dipetik dari halaman belakang buku ini:
“Maka, bagi anda yang ingin tetap eksis dalam menulis, sekalipun masalah datang bertubi-tubi, anda harus membaca buku ini. Semoga bermanfaat.”

p/s: Kepada sahabat-sahabat yang dikasihi, diharap dapat sedekahkan Al-Fatihah kepada kekanda saya, Rijaaludin Al Syafiq yang kembali ke rahmatullah pada 23/4/08 jam 10.25 malam. Semoga ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Amin.

Wednesday, April 16, 2008

AIR

Air merupakan salah satu rahmat Allah kepada manusia. Manusia tidak boleh hidup tanpa air, dan manusia tidak boleh hidup tanpa rahmat dari Allah. Dalam satu ceramah, seorang ustaz pernah bercerita bahawa dia telah berkesempatan menghadiri satu seminar mengenai “AIR”. Rata-rata peserta seminar ini bukan beragama Islam kecuali dua orang, ustaz tersebut dan seorang pensyarah.
Penceramahnya merupakan seorang professor yang pakar tentang air dari Jepun. Beliau menunjukkan hasil kajiannya mengenai air, beberapa slide ditunjukkan dan dipancarkan di layar putih kepada hadirin. Sampel-sampel air diambil dari pelbagai sumber air (sungai, laut, perigi dan bermacam lagi). Maka terpancarlah berbagai-bagai rupa bentuk susunan molekul-molekul air tersebut. Ada yang berupa seolah-olah seperti jin tetapi samar-samar, tidak begitu jelas (dengan telinga yang besar, bertanduk dan sebagainya) rupa yang menggerunkan dan menakutkan.
Lalu Profesor itu berkata "Banyak lagi sampel-sampel air yang lain tetapi rupa molekul-molekulnya hampir sama, sekarang saya nak tunjukkan sampel air yang berlainan dari sampel-sampel air yang saya tunjukkan tadi". Professor itu pun tunjukkan, maka terpancarlah satu rupa bentuk molekul air yang tersusun cantik berupa seolah-olah seperti berlian (bersegi-segi), bersinar-sinar dan sinarannya mengeluarkan warna-warna yang menarik melebihi 12 warna.
Lalu professor itu bertanya, "Siapakah di antara kamu semua yang tahu sampel air apakah ini?". Semua hadirin senyap. Kemudian, pensyarah yang bersama-sama ustaz tersebut mengangkat tangan dan menjawab, "Saya rasa itu adalah sampel air zam-zam". Professor berkenaan memanggil pensyarah tersebut naik ke atas dan bertanya "Berikan saya sebab kenapa awak berkata air itu adalah air zam-zam?”. "Kerana air zam-zam adalah air yang termulia di dunia ini", jawab pensyarah tersebut. Profesor tersebut berkata, "Saya tak tahu samada betul atau tidak air zam-zam itu mulia tetapi memang betul ini adalah sampel air zam-zam."
Kemudian professor itu mengatakan bahawa, kata-kata juga dapat mempengaruhi rupa bentuk molekul-molekul air. Lalu di dalam dewan itu mereka membuat eksperimen bagaimanakah yang dikatakan kata-kata dapat menpengaruhi rupa bentuk molekul-molekul air. Semua hadirin dikehendaki membaca sesuatu kepada air mineral masing-masing. Lalu seorang peserta bangun untuk menguji bagaimana rupa air yang telah dibaca. Bila ditunjukkan di skrin, kelihatan molekul air membentuk seolah-olah seperti tokong cina (dengan janggut yang panjang dan perut yang buncit). Bila tiba giliran ustaz, air yang dibaca dengan Al-Fatihah, selawat dan ayat Kursi, maka nampaklah rupa molekul air seperti berlian dan berkilau-kilau. Lalu ustaz tersebut disuruh oleh professor untuk membaca sebarang ayat atau kata-kata yang tidak baik. Selepas itu, nampaklah di skrin molekul air berupa seperti sel-sel barah. Subhanallah.......daripada ceramah yang ustaz ini sampaikan marilah kita sama-sama mengambil iktibar daripadanya. Ini adalah kata-kata dari ustaz tersebut:
"Jika hendak air itu merasa manis maka masukkanlah gula, jika hendak air itu berwarna maka masukkanlah pewarna dan jika hendak air itu mulia maka masukanlah ayat-ayat yang mulia kepadanya".

Cerita di atas merupakan satu artikel yang diberi oleh teman saya beberapa tahun lepas. Cerita berkaitan “AIR” ini juga pernah tersiar di dalam akhbar di Malaysia suatu ketika dahulu. Istilah yang digunakan di dalam akhbar tersebut adalah ‘hado’, secara bahasanya bermaksud ombak atau air tetapi telah diolah maksudnya menjadi energi atau kumpulan getaran yang ada pada sesuatu benda. Berdasarkan cerita ini, tidak hairanlah mengapa sesetengah pengamal perubatan membacakan ayat-ayat Al-Quran kepada air untuk diberikan kepada pesakit. Air yang telah dibacakan ayat-ayat Al-Quran atau bahasa mudahnya disebut air jampi dipercayai dapat memberikan kesan kepada pesakit. Terpulanglah kepada diri kita sendiri untuk mempercayainya atau tidak. Bagi anda yang tidak mempercayai kata-kata dapat mempengaruhi air atau ingin mendapat lebih banyak informasi tentang ‘hado’, sila layari https://www.hado.net/. Klik pada ‘Water Crystals’ untuk melihat bentuk-bentuk kristal air yang menarik. Wassalam........

Moral of the story: Jangan lupa baca Bismillah sebelum minum air.

Wednesday, April 9, 2008

BEDAH BUKU

KESAKSIAN SEORANG DOKTER
Mensucikan Hati melalui Kisah-kisah Nyata


Antara ciri-ciri seorang doktor muslim yang hebat ialah menyampaikan dakwah yang berkesan kepada pesakit di samping menjalankan tanggungjawab sebagai seorang doktor. Buku Kesaksian Seorang Dokter ini ditulis oleh DR. Dr. Khalid bin Abdul Aziz Al-Jubair, seorang doktor pakar bedah jantung dan pendakwah yang masyhur dari tanah Arab. Buku setebal 176 halaman ini menceritakan kejadian-kejadian benar yang dialami sendiri oleh doktor ini dan beberapa kejadian yang beliau dengar dari pengalaman orang lain. Penulis buku ini menyampaikan kisah-kisah nyata yang kebanyakannya beliau alami di rumah sakit (hospital) Riyadh, Saudi Arabia dan mengupas keajaiban-keajaiban dari kisah tersebut disertai dengan penjelasan dari ayat-ayat Al-Quran.
Ulasan pada halaman belakang buku ini amat menarik dengan menampilkan secara ringkas sebuah cerita tentang seorang doktor terdengar suara azan melalui stetoskop yang diletakkan di atas dada seorang pesakit yang telah meninggal dunia. Ketika membaca buku ini, saya menjangkakan banyak lagi kisah-kisah pelik yang menarik seperti ini diceritakan tetapi jangkaan saya agak meleset kerana tidak banyak kisah-kisah sebegini diceritakan. Walau bagaimanapun, kesemua kisah di dalam buku ini membawa mesej dan makna yang begitu mendalam. Bagi mereka yang betul-betul berfikir dan menghayati kisah-kisah di dalam buku ini, banyak hikmah yang mampu diperolehi dan membuatkan kita berasa terkesan. Kisah-kisah di dalam buku ini menyimpulkan bahawa hanya Allah s.w.t yang memiliki kuasa menyembuhkan penyakit sedangkan seorang doktor tidak lebih hanya sebagai perantara, suatu hakikat yang sering dilupakan pada masa kini kerana kita lebih berterima kasih kepada doktor yang merawat tetapi kurang melahirkan rasa syukur kepada Allah s.w.t yang menyembuhkan penyakit. Kesimpulannya, buku yang menarik dan bersaiz kompak ini tidak rugi untuk dijadikan koleksi tambahan buku anda. Wassalam........